Satu
persatu helaian surat khabar kubuka sambil mengimbas berita-berita yang
dipaparkan. Aku menggelengkan kepala membaca berita yang tertera di
akhbar-akhbar hari ini. Pelbagai berita yang tidak masuk akal pada satu masa
dahulu telah sebati dengan akhbar hari ini. Apa nak jadi dengan dunia sekarang
bisik hatiku.
“Assalamualaikum,
cikgu.” Aku tersentak. Aku menoleh dan memandang pemilik suara itu. Seorang
anak muda segak, berpakaian kemas tersengih sambil menghulurkan tangan.
“Waalaikumussalam.”
Balasku sambil menghulur tanganku. tanganku disambut anak muda itu lantas
diciumnya.
“Saya
Malik, cikgu. Murid cikgu kelas 5G.” Kata anak muda itu apabila melihat aku
tercenggang memandangnya.
Aku mengagak-agak
usia anak muda tersebut sambil mengimbau kembali peristiwa 20 tahun yang lalu.
Memang aku pernah mengajar dan menjadi guru kelas tahun 5G.
“Kamu
Malik?” Tanyaku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kulihat didepan mataku. Malik yang kukenal dulu jauh berbeza dengan
apa yang ada di depan mataku kini. 20 tahun satu tempoh yang lama tentulah
segalanya berubah.
“Kamu
dari mana?” Sambungku.
“Saya
baru pulang dari kerja, ternampak cikgu kat sini jadi saya pun singgah sekejap
bertanya khabar. Cikgu sihat?” Tanya Malik.
“Alhamdulillah,
sihat. Kamu pula apa khabar?” Balasku pula.
“Saya
sihat juga. Saya ke dalam sekejap cikgu.” Anak muda itu meminta izin dan berlalu
masuk ke dalam kedai.
Aku
kembali membelek surat khabar sambil mengimbas kembali peristiwa 20 tahun yang
lalu. Semuanya masih agak samar-samar dek kerana usiaku yang sudah masuk era 5
series kata orang sekarang.
“Saya
minta diri dulu, cikgu. Ada urusan yang perlu diselesaikan” Kata Malik yang
tiba-tiba muncul disebelahku.
Kata-katanya
itu mematikan lamunanku. Dia menghulurkan tangan lantas tangannya kusambut. Dia
lantas mencium tanganku. Aku menganggukkan kepala dan memberi salam.
Malik
berlalu sambil menjawab salamku. Sempat juga dia melambai kepadaku dari dalam kereta
Nissan 370znya. Aku masih terpaku sambil memegang surat khabar walaupun sudah
lama anak muda itu beredar. Tersedar dari lamunan, aku membawa surat khabar ke
kaunter bayaran untuk dibayar.
“Itu
orang sudah bayar, cikgu.” Kata pemuda India, juruwang kedai alat tulis yang
memang mengenaliku sambil tersenyum. Mungkin sudah faham sangat dengan situasi
tersebut.
“Kalau
jumpa dia lagi, cakap saya ucap terima kasih.” Kataku tersenyum sambil berjalan
keluar menuju ke keretaku.
