Thursday, May 2, 2013

Berkejar Ke Langit (Bhgian 1)


Satu persatu helaian surat khabar kubuka sambil mengimbas berita-berita yang dipaparkan. Aku menggelengkan kepala membaca berita yang tertera di akhbar-akhbar hari ini. Pelbagai berita yang tidak masuk akal pada satu masa dahulu telah sebati dengan akhbar hari ini. Apa nak jadi dengan dunia sekarang bisik hatiku.  
“Assalamualaikum, cikgu.” Aku tersentak. Aku menoleh dan memandang pemilik suara itu. Seorang anak muda segak, berpakaian kemas tersengih sambil menghulurkan tangan.
“Waalaikumussalam.” Balasku sambil menghulur tanganku. tanganku disambut anak muda itu lantas diciumnya.
“Saya Malik, cikgu. Murid cikgu kelas 5G.” Kata anak muda itu apabila melihat aku tercenggang memandangnya.
Aku mengagak-agak usia anak muda tersebut sambil mengimbau kembali peristiwa 20 tahun yang lalu. Memang aku pernah mengajar dan menjadi guru kelas tahun 5G.
“Kamu Malik?” Tanyaku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang kulihat  didepan mataku.  Malik yang kukenal dulu jauh berbeza dengan apa yang ada di depan mataku kini. 20 tahun satu tempoh yang lama tentulah segalanya berubah.
“Kamu dari mana?” Sambungku.
“Saya baru pulang dari kerja, ternampak cikgu kat sini jadi saya pun singgah sekejap bertanya khabar. Cikgu sihat?” Tanya Malik.
“Alhamdulillah, sihat. Kamu pula apa khabar?” Balasku pula.  
“Saya sihat juga. Saya ke dalam sekejap cikgu.” Anak muda itu meminta izin dan berlalu masuk ke dalam kedai.
Aku kembali membelek surat khabar sambil mengimbas kembali peristiwa 20 tahun yang lalu. Semuanya masih agak samar-samar dek kerana usiaku yang sudah masuk era 5 series kata orang sekarang.
“Saya minta diri dulu, cikgu. Ada urusan yang perlu diselesaikan” Kata Malik yang tiba-tiba muncul disebelahku.
Kata-katanya itu mematikan lamunanku. Dia menghulurkan tangan lantas tangannya kusambut. Dia lantas mencium tanganku. Aku menganggukkan kepala dan memberi salam.
Malik berlalu sambil menjawab salamku. Sempat juga dia melambai kepadaku dari dalam kereta Nissan 370znya. Aku masih terpaku sambil memegang surat khabar walaupun sudah lama anak muda itu beredar. Tersedar dari lamunan, aku membawa surat khabar ke kaunter bayaran untuk dibayar.
“Itu orang sudah bayar, cikgu.” Kata pemuda India, juruwang kedai alat tulis yang memang mengenaliku sambil tersenyum. Mungkin sudah faham sangat dengan situasi tersebut.
“Kalau jumpa dia lagi, cakap saya ucap terima kasih.” Kataku tersenyum sambil berjalan keluar menuju ke keretaku. 

No comments:

Post a Comment